Menjadi seorang seniman tidaklah semudah yang disangka. Seniman bukan semata menghasilkan karya seni di studio semata-mata. Kini dalam era pasca moden, seorang seniman bukan sekadar seniman sebaliknya ejen budaya dan masyarakat. Seniman bukan lagi sekadar melukis dan menggambarkan pemandangan sawah padi mahupun objek cantik. Kerjaya sebagai seniman kini makin lama makin berubah. Seniman dilihat sebagai ejen budaya dan pemikir kritikal. Bagaimanakah seniman ini ingin menjadi ejen budaya atau pemikir jika mereka terperuk di dalam ruang kubikel selesa mereka? Di sini datangnya residensi seni.
Jadi apakah itu residensi seni? Residensi seni merupakan sebuah program yang memberikan peluang kepada para seniman, akademia, kurator dan penggiat seni kreatif untuk mengalami dan bekerja di luar ruang kebiasaan mereka dalam tempoh tertentu. Ianya secara tidak langsung memberikan peluang kepada mereka untuk muhasabah diri, melakukan penyelidikan dan menghasilkan karya. Residensi juga membuka peluang bagi para seniman untuk meneroka tempat dan budaya yang baharu selain daripada bereksperimen dengan material yang berbeza.
Residensi seni kali pertama diiktiraf pada awal abad ke-20 di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ianya bermula sebagai memberikan ruang buat seniman berkarya. Ianya seperti satu konsep bernaung di bawah pengumpul karya seni. Kemudian 100 tahun berlalu, makna residensi seni itu berubah. Daripada konsep naungan di bawah pengumpul seni, ianya menjadi konsep yang dikenali sekarang. Dewasa kini, program residensi seringkali dikaitkan dengan institusi seni seperti muzium, galeri dan universiti seni. Seperti di Malaysia sendiri, program residensi berkait rapat dengan galeri seperti contoh Doubletree Studio Residency oleh Doubletree Hotel dan Segaris Art Center, ILTIZAM Seni Art Residency oleh Ekuinas dan Galeri Puteh, dan YAE oleh Balai Seni Negara (BSN). Ianya amat membantu kerana residensi ini sudah mempunyai jaringan yang cukup kuat. Secara langsung ianya akan memberikan faedah kepada para seniman.
Setiap program residensi seni berbeza antara satu sama lain, tetapi apa yang pasti adalah setiap residensi seni memberikan ruang yang kondusif kepada para seniman dalam tempoh masa tertentu. Itu adalah standard setiap program residensi. Apa yang membezakan antara residensi seni ini adalah lokasi, masyarakat sekeliling, dana dan tempoh residensi. Setiap residensi itu mempunyai ciri-ciri tersendiri. Seperti contoh, residensi Rimbun Dahan yang bertempat di Kuang, Selangor. Rimbun Dahan menyediakan ruang yang selesa dalam kehijauan jauh dari hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur. Jika seniman mahukan sebuah studio di tengah kota, mereka boleh memilih YAE yang ditawarkan oleh Balai Seni Negara di pusat bandar Kuala Lumpur. Setiap residensi itu berbeza dan mempunyai ciri-ciri tersendiri. Ini adalah antara perkara yang perlu dipertimbangkan bagi para seniman dalam memilih residensi mereka.
Residensi seni pada kebiasaannya akan menyediakan satu tentatif program bagi para seniman dalam memenuhi kehendak residensi. Antara program yang dijalankan adalah seperti menghasilkan karya, lawatan studio dan sesi perkongsian di institusi. Pada kebiasaannya untuk menyertai residensi ini ianya adalah percuma. Seniman cuma perlu menghantar beberapa dokumen seperti Artist CV, portfolio dan lain-lain dokumen sokongan dan berdoa agar terpilih untuk residensi itu. Kebanyakan residensi di Malaysia ditawarkan secara percuma dan hadir dengan pameran di penghujung program. Ianya merupakan satu langkah yang baik kerana masyarakat seni dapat melihat perubahan dalam proses penghasilan karya dan juga pemikiran seniman selepas menamatkan program ini. Perlu ditekan disini yang ianya bukanlah kayu ukur kepada kejayaan residensi.
Residensi seni memberikan penekanan terhadapat kepentingan kepada pertukaran budaya (cultural exchange) di antara seniman, residensi dan masyarakat setempat. Mereka memperkenalkan budaya setempat kepada para seniman, membolehkan para seniman berhubung dengan masyarakat setempat. Pihak residensi akan menjadi ‘pemandu pelancong’, membawa pelancong (seniman) melawat dan memperkenalkan lokasi (baca: masyarakat) dan budaya setempat. Residensi seni menjadi satu jambatan yang menyatukan mereka. Selain daripada masyarakat setempat, residensi juga akan memperkenalkan seniman kepada para pemain penting seni rupa Malaysia (SERUM). Seperti mana Iltizam Seni ataupun YAE yang membawa seniman residensi mereka pergi ke institusi seni untuk sesi perkongsian seni selain bertemu para seniman sohor, kurator, pengumpul seni dan juga akademia. Perjumpaan ini yang saya panggil sebagai pertukaran ilmu (knowledge exchange) yang akan menyuburkan perkembangan seni dalam SERUM. Kita boleh ibaratkan seniman residensi ini sebagai biji benih yang perlu dibajai dengan segala macam pertukaran ilmu dan budaya.
Residensi sememangnya penting buat para seniman. Ianya membantu dalam membina dan mengembangkan karier serta perspektif seorang seniman. Selain memainkan peranan penting kepada para seniman, residensi juga penting buat keseluruhan ekosistem seni setempat. Pertukaran ilmu dan budaya berlaku di residensi selain daripada ruang galeri dan institusi pendidikan.
Sepanjang proses penulisan ini, saya dapat melihat sesuatu yang menarik tentang program residensi ini. Dengan kepelbagaian program yang ditawarkan, saya pasti ada residensi yang bersesuaian untuk setiap seniman di luar sana, baik anda seorang seniman muda ataupun seniman sohor. Jika anda sebagai seorang seniman dan merasakan yang ruang kubikel studio anda mulai membosankan, karya yang terhasil seperti kurang jiwanya, mungkin sudah tiba masanya untuk mengemaskan perkakas seni anda dan memohon untuk mengikuti program residensi.
Comments
Post a Comment