All
the artworks in my collection would be meaningless if they were kept in my storeroom
and not shared. The collection needs a permanent home to be viewed
and enjoyed by the public and utilized as research materials for art students
and curators.
Kenyataan oleh Almarhum Rahime Harun mengenai
koleksi seni beliau. Benar bahawa jika sesuatu koleksi itu dibiarkan disimpan
tanpa dipertontonkan untuk generasi akan datang secara tidak langsung
agak counterproductive dalam perkembangan seni rupa Malaysia.
Koleksi-koleksi seni ini seharusnya dipertontonkan kepada khalayak ramai selain
menjadi bahan rujukan untuk tujuan pengajian buat para pelajar seni, pensyarah
dan kurator.
Kebanyakan kolektor seni seni jarang sekali untuk
menayangkan koleksi-koleksi mereka. Rata-rata mereka agak malu-malu untuk
mempamerkan semula karya dalam koleksi. Mereka lebih selesa untuk berkongsi
karya-karya mereka kepada sekumpulan kecil khalayak yang kebiasaannya terdiri
daripada kalangan sanak-saudara dan sahabat serta kenalan rapat yang berkunjung
ke rumah mereka. Hal ini sedikit berbeza dengan para kolektor terutamanya
daripada Eropah dan Amerika Syarikat malahan jiran tetangga kita dari Indonesia
dan Singapura. Whitney Museum of American Art, Walker Art Center, Guggenheim
Museum, Feuerle Collection, The Private Museum dan Tumurun Private Museum yang
mana mereka semua ini bermula sebagai sebuah koleksi peribadi namun kini
menjadi antara entiti-entiti penting dalam dunia seni rupa.
Pameran koleksi ini penting kerana ianya
membenarkan khalayak ramai untuk menikmati karya-karya penting yang berada
dalam simpanan para kolektor sohor ini. Kebiasaannya jika sesebuah karya itu
dibeli oleh para kolektor, keberangkalian untuk ianya tidak dipamerkan kembali
tinggi. Biasanya kolektor akan meminjamkan karya-karya koleksi mereka bagi
tujuan pameran retrospektif sepertimana pameran “At the End of the Day, Art is
Not Important” oleh Ahmad Fuad Osman dan “Kok Yew Puah: Portrait of a Malaysian
Artist”. Ianya sedikit berbeza dengan karya-karya yang dibeli oleh institusi
besar seperti Balai Seni Negara yang akan memamerkan karya-karya koleksi mereka
secara berterusan.
Pameran Koleksi bukanlah satu benda yang baharu
sebaliknya ianya telah diadakan sejak tahun 1970-an lagi anjuran Balai Seni
Negara (dahulu dikenali sebagai Balai Seni Lukis Negara) antaranya koleksi
kolektor-kolektor mapan seperti Dr. Chan Chin Cheung, Chen Voon Fee, Hisham
Al-Bakri, Ismail Zain, Zain Azahari; sekadar menyebut beberapa nama.
Dalam tempoh sedekad ini, dapat diperhatikan ramai
kolektor mula untuk memamerkan karya koleksi mereka ke khalayak ramai. Antara
mereka ialah Pakharuddin & Fatimah Sulaiman dan Aliya & Farouk Khan,
yang memamerkan karya-karya koleksi mereka di ruang galeri-galeri. Tak lupa
juga beberapa kolektor tempatan yang mempunyai muzium dan ruang galeri
persendirian untuk memamerkan karya-karya koleksi di samping sebagai ruang
pameran seperti Museum Azman (Datuk Azman Nurdin), Rumah Lukis (Pital Maarof),
dan Ilham Gallery (Tun Daim).
BERTAMU merupakan sebuah pameran yang
mengetengahkan karya-karya dalam koleksi Rahime Harun, bertitik tolak daripada
pameran Object Matters: Emancipating the Collection of Rahime Harun. Apa yang
menariknya tentang pameran koleksi ini? Kerana ini bukanlah kali pertama
karya-karya koleksi Rahime Harun dipertontonkan kepada khalayak ramai. Sebelum
ini, Rahime telah memamerkan koleksi beliau di tiga buah pameran masing-masing
di tahun Pursuing a Dream – From the Collection of Rahime Harun (1993),
Pursuing A Dream – Representational Art (1995) dan Koleksi Saya – Rahime Harun
(2008), jadi apakah yang membezakan BERTAMU ini?
Pertama sekali, pameran ini tidak diadakan di ruang
galeri. BERTAMU membuka pintu, kepada orang ramai untuk menjengah masuk ke
rumah kedai tiga tingkat kepunyaan Rahime Harun di mana di situ merupakan ruang
bagi galeri seni, bengkel bingkai gambar dan juga rumah. Karya-karya koleksi
beliau dipamerkan sepertimana ianya digantung di sebuah rumah. Tiada
ruang-ruang tertentu yang membahagikan koleksi tersebut. Seusai memasuki ruang
tamu tersebut, di kiri dan kanan dinding dipenuhi oleh karya-karya catan dan
lukisan oleh artis-artis sohor seperti Zulkifli Dahlan, Juhari Said, Rafiee
Ghani, Syed Ahmad Jamal, dan Latif Mohidin. Melangkah beberapa tapak ke
hadapan, tegap berdiri karya Bujang Berani oleh Bayu Utomo Radjikin. Ianya
pasti tidak seperti pameran koleksi kebiasaan. Bagi yang mengenali Rahime
secara peribadi dan pernah bertamu di sini, pasti akan menggamit memori-memori.
Manakala bagi yang kali pertama bertamu, ianya seperti sebuah dialog dengan
Rahime. Melihat dan menikmati karya-karya koleksi beliau seperti membaca dan
berkenalan dengan Rahime, kerana koleksi seni seseorang itu banyak memberitahu
tentang sosok kolektor itu.
Kedua, BERTAMU membawakan karya-karya yang
jarang-jarang dapat dilihat dan dinikmati. Setiap karya yang dikumpul oleh
Rahime terasa sangat bermakna dan istimewa. Ianya merupakan satu rekod atau bab
pertama bagi kebanyakkan artis yang dikumpul beliau. Antara karya-karya
awal dan tahun akhir bagi artis sohor masakini dalam koleksi Rahimi adalah dari
Amin Busu, Rafiee Ghani, Juhari Said, Bayu Utomo Radjikin, Hamir Soib, Ahmad
Sukri Mohd, Ahmad Fuad Osman dan Hamir Soib. Menurut Rahime, karya-karya seni
merupakan aset-aset budaya dan ianya perlu dipelihara, dikumpul dan dikaji.
Karya-karya seni seperti catan, cetakan dan arca merupakan rekod kepada
ketamadunan kita. Dengan hadir ke pameran ini, penonton dapat melihat sisi lain
artis-artis sohor ini. Seperti contoh, Rafiee Ghani yang beliau terkenal dengan
karya-karya catan yang ekspresif dengan penggunaan warna-warna panas seperti
merah, kuning dan jingga. Namun siapa yang tahu, beliau juga mempunyai sebuah
siri catan figuratif dan ketika tahun akhir pengajian beliau, Rafiee
menghasilkan sebuah karya lanskap yang sangat ekspresif dengan penggunaan
warna-warna ranah.
Dengan BERTAMU A.P Art Gallery secara langsung
dapat memanjangkan hayat sesebuah karya seni dan ianya adalah satu
tanggungjawab sosial kolektor seni dan institusi. Pameran-pameran koleksi ini
tentu sekali memberi peluang untuk khalayak ramai menghayati khazanah budaya
bangsa dalam pelbagai ragam yang diserikan dengan lakaran luahan perasaan,
resam atau cermin kehidupan masyarakat kita hari ni.
Comments
Post a Comment