Salon-Style Hanging
Di Malaysia
sendiri, kita pernah menghasilkan beberapa pameran dengan format French Hang
ini. Banyak galeri yang telah mengguna pakai format ini, antaranya pameran
Segaris Art Center 10th Anniversary Show (2021) dan Possibilia oleh ARTO
Movement (2020).
Karya-karya dari pameran Segaris Art Center 10th Anniversary Show
Karya-karya dari pameran Segaris Art Center 10th Anniversary Show
Karya-karya dari pameran Possibilia oleh ARTO Movement
Baru-baru ini, Seni Rupa Malaysia (SERUM) terpalit satu kontroversi mengenai pengurusan dan kuratorial yang lemah oleh penganjur bagi sebuah pameran seni skala besar iaitu ArtIsFair (AIF). AIF dianjurkan bagi menangkis tanggapan yang salah tentang pengertian seni di samping mencipta apresiasi dan penghayatan seni dalam kalangan orang ramai. Pameran tersebut boleh dianggap berjaya kerana telah membawa seni lebih dekat kepada masyarakat tanpa mengira umur dan status. Pameran AIF yang dibuka kepada umum bermula dari 11 sehingga 28 November di Fahrenheit88 mempamerkan lebih daripada 2000 karya oleh 500 orang artis Malaysia dan Indonesia dalam ruang melebihi 100,000 kaki persegi. Ia merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan tetapi perlaksanaannya agak mendukacitakan. Menurut kurator pameran, Bernard Chandran, “For the fair, I took on everything as an artform. I used the original crates and boxes to frame the art, mounting them on industrial broken walls, with plywood and hoarding. It’s raw, cool and beautiful…” Berdasarkan kenyataan ini, ia kedengaran sedikit janggal. Mengapa kotak-kotak kayu perlu digunakan sebagai bingkai kepada karya yang tidak perlu dibingkaikan? Apakah hujah kepada peletakan karya dalam kotak kayu tersebut?
Karya yang digantung di AIF
Jika diamati
berdasarkan gambar-gambar di atas, ia membantutkan rasa kagum terhadap karya
tersebut. Penonton berkemungkinan lebih memfokuskan kepada kotak kayu tersebut
berbanding karya itu sendiri. Format sebegini sekali gus mencacatkan estetik
karya-karya yang dipamerkan. Ia sememangnya berbeza daripada pameran-pameran
biasa, tapi adakah perbezaan itu dalam erti kata yang baik atau sebaliknya?
Selain daripada
itu, AIF juga terpalit dengan isu mengenai perihal penggantungan karya yang
kiranya agak menjengkelkan. Beberapa buah karya telah digantung di penghadang
kaki lima pusat beli-belah ini. Ia merupakan satu keputusan kuratorial yang
agak canggungkerana karya-karya ini digantung pada ketinggian melebihi 20 kaki.
Bagaimanakah caranya orang ramai boleh melihat dan menikmati karya-karya yang
digantung terlalu tinggi? Mungkin dengan binokular?
Karya-karya yang di’sidai’ di penghadang kaki lima Fahrenheit88
Karya-karya yang di’sidai’ di penghadang kaki lima Fahrenheit88
Susulan
daripada isu ‘karya yang disidai’, beberapa orang artis telah membuat keputusan
untuk meminta karya-karya mereka diturunkan, bahkan ada yang telah menarik diri
seperti Nawwar Shukriah Ali aka Bono Stellar, Indra Gondhi dan beberapa orang
lagi. Bagaimanakah mereka boleh terfikir untuk menyidai karya sebegini rupa?
Kita abaikan perihal kuratorial buat masa sekarang, sebaliknya memfokuskan
kepada isu keselamatan. Adakah ia selamat untuk karya-karya itu digantung di
penghadang kaki lima tersebut?
Jika kita
melihat kepada konteks menjadikan seni lebih mudah didekati orang ramai, sebuah
lagi pameran telah berlangsung kira-kira 7 hari sebelum AIF, iaitu Hotel Art
Fair (HAF) bersempena dengan CIMB Artober 2021 di Element by Westin di Kuala
Lumpur. Terdapat 9 buah galeri yang telah mengambil bahagian iaitu A+Works of
Art, Artas Galeri, Art WeMe Contemporary Gallery, Core Design Gallery, Cult
Gallery, G13 Gallery, Segaris Art Center, Suma Orientalis and Taksu. Kesembilan
buah galeri ini telah diberikan ruang (bilik) untuk mereka perhiaskan dengan
karya-karya yang terdiri daripada catan, cetakan dan arca. Dalam pameran ini,
ada karya yang ‘ditidurkan’, disandarkan ke dinding, diletakkan di atas kerusi
dan digantung di dinding selain daripada diletakkan di tandas.
Karya-karya Hotel Art Fair di Element by Westin
Karya-karya Hotel Art Fair di Element by Westin
Karya-karya Hotel Art Fair di Element by Westin
Karya-karya Hotel Art Fair di Element by Westin
Sememangnya
pameran seni di bilik hotel seperti HAF bukanlah sesuatu yang baharu di
Malaysia dan dunia seni secara amnya. Pada Mac 2021, Momo’s Kuala Lumpur juga
telah menganjurkan sebuah pameran seni yang bertajuk Momo’s Art Fair; An
International Women’s Day Group Art Exhibition. Ia menggunakan kerangka pameran
yang sama, iaitu menjadikan ruang hotel terutama bilik sebagai ruang pameran.
Di dunia seni rupa antarabangsa, antara HAF yang sohor ialah anjuran Farmgroup
di Bangkok dan HAF pertama anjuran mereka ialah pada tahun 2013. Tujuan utama
HAF adalah untuk mengumpul sejumlah galeri dari seluruh dunia untuk berpameran
selama beberapa hari selain daripada memberikan peluang kepada orang ramai
untuk menikmati karya-karya seni.
Karya-karya Momo’s Art Fair
Sejauh manakah
kedua-dua pameran tersebut berjaya dalam merakyat seni? Maklum balas yang diberikan oleh orang ramai terutamanya
para artis dan pekerja seni rupa Malaysia sangat menarik. Daripada maklum balas
ini, dapat disimpulkan terdapat beberapa kelompok yang dominan dalam isu ini.
Kelompok pertama ialah yang menyokong pameran AIF atau HAF, kelompok kedua
ialah yang tidak menyokong salah satu dan kelompok ketiga yang tidak menyokong
kedua-duanya. Kelompok pertama melihat usaha Bernard Chandran, Alex Yap dan
Nemo (untuk AIF) dan CIMB, Cendana, Yayasan Hasanah (untuk HAF) sebagai satu
usaha yang terpuji demi kelangsungan dan kelestarian dunia seni rupa Malaysia.
Usaha mereka secara tidak langsung mendekatkan seni kepada masyarakat. Kelompok
kedua pula kelompok yang tidak menyokong AIF. Rata-rata mereka tidak menyokong
disebabkan praktis kuratorial AIF yang tidak teratur di samping kontroversi
karya disidai. Dan kelompok ketiga iaitu kelompok minoriti yang tidak menyokong
kedua-dua bentuk pameran ini sekali gus mempersoalkan apakah fungsi ruang
dan/atau bilik hotel tersebut? Adakah ia sekadar ruang atau adakah ruang
tersebut bertindak balas dengan karya yang dipamerkan (seperti karya
site-specific).
Atau adakah
kedua-duanya merupakan salah satu alat pemasaran bagi menaikkan dan menimbulkan
minat orang awam terhadap dunia seni rupa Malaysia?
Comments
Post a Comment