Lewat beberapa hari yang lepas, saya telah mengtweet sesuatu tentang seni dan bakat. Acapkali saya diajukan soalan-soalan seperti, ‘Adakah seni memerlukan bakat?’, ‘Pegang berus pun tak tahu, apatah lagi mengecat.’ dan lain-lain lagi. Lalu saya rumuskan dari pelbagai persoalan di laman sosial; Twitter bahawa khalayak masyarakat masih lagi sangsi tentang seni ini. Masih sangsi tentang keperluan bakat dalam bidang seni, seolah tanpa bakat seseorang itu tidak mampu bergelar seniman mahupun karyawan.
Persoalan timbul dek tweet saya yang kiranya berbunyi begini, ‘Adakah seni dan bakat perlu seiringan?’. Persoalan itu timbul atas sebab ramai yang mengatakan dan mengujarkan pendapat bahawa seorang seniman itu perlu bakat kerna bakat satu benda penting dalam diri seorang yang bergelar seniman. Rata-rata yang membalas serta berkongsi pendapat mengatakan ya perlu seni dan bakat seiringan.
Tidak saya nafikan bahawa seni dan bakat itu perlu seiringan namun adakah seorang yang tiada bakat tidak mampu untuk menghasilkan karya seni dan bergelar seniman? Jika benar seorang seniman perlu berbakat baru layak untuk menghasilkan sesuatu karya seni, maka tertutuplah peluang-peluang mereka yang tidak punya (belum disedari) bakat semula jadinya.
Apakah itu Bakat? Menurut Safrizal Shahir, bakat merupakan sesuatu yang sering dikaitkan dengan sesuatu kemahiran yang alaminya sifatnya bagi seseorang individu. Makanya bakat adalah satu bentuk kemahiran yang di temukan secara semula jadi bagi seseorang individu tersebut. Individu yang berbakat boleh ditakrifkan sebagaikan seorang individu yang punya kemahiran yang mendalam dalam sesuatu bidang tanpa perlu menerima pendidikan atau latihan secara intensif mengenai sesuatu kemahiran itu.
Adakah seorang seniman perlu (WAJIB) untuk mempunyai bakat? Adakah seseorang individu tidak boleh menjadi seniman jika tidak berbakat dalam bidang seni? Adakah mustahil untuk menjadi seorang seniman tanpa bakat? Persoalan-persoalan ini antara yang timbul di dalam kotak fikiran saya kala ini. Adakah bakat itu terlalu besar dalam konteks seni? Tapi adakah seni yang bagaimana perlu seorang seniman itu berbakat? Adakah seni masa kini (kontemporari) juga perlu disertakan bakat dalam penghasilan karya?
Dewasa kini, bentukan (form) karya sudah berubah dan bukannya seperti dekad 40an, 50an dan 60an yang mana kebanyakan seniman mempamerkan karya-karya yang berkaitan kemahiran serta bakat yang tinggi seperti karya seniman Abdullah Ariff, Yong Mun Sen, Hoessein Aenas dan lain-lain. Pada dekad kontemporari ini dapat dilihat bentukan karya yang sudah jauh meninggalkan perihal bakat semata-mata, sebaliknya penggunaan kreativiti, teknologi, kecerdasan emosi dan akal digunapakai dan diaplikasikan dalam penghasilan sesuatu karya.
Saya sering katakan pada teman-teman yang mengeluh tentang kurangnya bakat seni mereka berbanding rakan-rakan sealiran/sekursus mereka. “Aku tak pandai melukis, bukan macam si polan tu.”, “Asal dia sentuh je kanvas, menjadi. Asal sentuh je warna, terus masak. Aku ni, dok pulun pun tak jadi juga.”. Benarkah yang kurang bakat seninya tidak mampu untuk menjadi seorang seniman yang berjaya? Adakah benar begitu resminya? Sudah tentu TIDAK. Bakat boleh diasah. Kekadang yang lambat bakatnya berkembang itu lebih sinar daripada yang berbakat dari mula. Kita juga sering disajikan dengan dogma yakni yang berbakat sahaja pasti berjaya dalam bidang seni. Nak menjadi seniman perlu pandai dan bijak melukis figura, lanskap dan sebagainya. Tapi masih RELEVANkah lagi?
Situasi 1
Mak Long : Kau ambil apa belajar U nanti?
Remaja 1 : Ambil Art & Design Mak Long.
Mak Long : Apekebendanya tu? (sambil menggaru kepala yang tidak gatal)
Remaja 1 : Seni Lukis dan Seni Reka (cakap bahasa Melayu)
Mak Long : Melukis? Boleh kerja ke nanti? Jadi pelukis jalanan?
Remaja 1 : (Terdiam. Termanggu.)
Situasi 2
Anak : Mak, abah, Aman nak ambil course Art & Design boleh untuk diploma?
Mak : Aman kan dapat straight As, buat apa nak masuk Art. Budak entah
macamana masuk course tu.
Anak : Tapi, Aman minat melukis. Aman suka melukis.
Abah : Aman nak hidup macamana nanti lepas grad? Takkan nak melukis?
Boleh buat duit ke?
Anak : Tapi mak, abah…
Situasi 3
Jiran 1 : Anak aku masuk Medic. Anak kau? (Tanyanya kepada Jiran 2 dan 3)
Jiran 2 : Anak aku ambil Engineering.
Jiran 3 : Anak aku ambil Art.
Jiran 1 : Art? Boleh hidup ke lepas grad nanti? Nak kerja apa nanti?
Jiran 2 : Haah. (Mengangguk) Takkan nak melukis kat tepi jalan j
Jiran 3 : (Menggeleng) Tak adalah. Anak aku nak jadi …
Jiran 1 : (Mencelah Jiran 3) Jangan bagi masuk art, tak ada masa depan.
Jumudnya pemikiran sesetengah golongan kita yang tidak tahu apa-apa mengenai seni namun sedaya upayanya menjatuhkan hukum pada bidang seni. SENI TIDAK PUNYA MASA DEPAN; dogma yang seringkali kedengaran dalam kelompok masyarakat kita. Saya sering menggaru kepala (walau tidak gatal) pabila kenyataan ini dilontarkan. Saya terdiam dan berfikir; REZEKI RUPANYA IKUT COURSE YANG KITA AMBIL DI UNIVERSITI.
Benarkah SENI dan BAKAT perlu seiringan? Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Saya tetap dengan pendirian yang mengatakan bakat kekadang tidak perlu dalam menghasilkan karya seni. Bakat kekadang tidak perlu hadir sekali dalam penghasilan karya seni dewasa kini. Intelektualiti dan ide yang cuba disampaikan dalam penghasilan karya kekadang lebih dilihat berat berbanding bentukan rupa sesuatu karya. Namun adakah intelektualiti itu bukan bakat? Intelektualiti membolehkan seseorang itu berfikir di luar kotak dalam menyelesaikan atau memahami sesuatu permasalahan. Seorang seniman perlu punya sifat intelek dalam menghasilkan karya seni yang mana saya kira, proses penghasilan karya seni itu dilihat sebagai proses problem solving (menyelesaikan permasalahan). Seorang seniman itu, menurut pandangan saya perlu menjadi seorang yang tinggi sifat ingin tahunya.
SENI dan BAKAT mungkin tidak perlu seiringan namun SENI dan INTELEK itu perlu seiringan dalam menyelesaikan dan memahami permasalahan seni dekad ini. Dalam era kontemporari, proses problem solving (bagaimana proses karya terbentuk) dilihat lebih diutamakan berbanding produk akhir (karya siap).
Justeru itu, menurut pandangan saya, seni dan bakat tidak semestinya perlu seiringan sentiasa sebaliknya seni dan intelek itu perlu seiringan.
P/S: Ini merupakan pandangan peribadi saya dan tidak semestinya ia benar dan tepat 100%.
* Artikel ini pada asalnya ditulis dan diterbitkan dalam #ProjekZineSENI isu 1 pada tahun 2014
Comments
Post a Comment