Pendidikan Berasaskan Qalbu: Masa Depan Universiti Selepas Era Modal Insan oleh Naser Baharuddin

Photo credit: Jeremy Bishop

Kali ini tulisan Hasnul J. Saidon mengajak kita melihat persoalan yang lebih mendasar terhadap perubahan falsafah universiti pada abad ke-21. Persoalan utamanya ialah: apakah tujuan sebenar universiti?

Di sini pemerhatian saya ialah idea qalb-based education sebenarnya bukan sekadar penambahan kepada konsep insan seimbang. Ia merupakan pendalaman falsafah yang telah lama dibina oleh Prof Dzulkifli Abdul Razak. Jika Memupuk Insan Seimbang menegaskan bahawa universiti perlu melahirkan manusia yang berkembang secara menyeluruh, maka pendidikan berasaskan qalbu cuba menjawab persoalan yang lebih asas: apakah pusat yang menyatukan keseluruhan perkembangan manusia itu?

Dalam tradisi Islam, qalbu bukan sekadar jantung fizikal atau emosi. Ia merupakan pusat kesedaran, kebijaksanaan, niat dan pertimbangan moral. Akal memang penting, tetapi akal sahaja tidak menjamin kebijaksanaan. Ia perlu kepada penyatuan antara akal dan jiwa.

Seseorang boleh menjadi sangat pintar, menghasilkan ribuan penerbitan, mencipta teknologi baharu, malah memenangi pelbagai anugerah, namun jika qalbunya tidak terdidik, ilmu itu boleh menjadi alat eksploitasi, manipulasi atau kerosakan alam. Di sinilah pendidikan berasaskan qalbu berbeza daripada model pendidikan moden yang lazimnya menumpukan kepada pembangunan kompetensi, kemahiran dan produktiviti.

Sebenarnya, ini merupakan satu kritikan epistemologi terhadap universiti abad ke-21. Selama beberapa dekad, universiti di seluruh dunia semakin diukur melalui ranking, indeks sitasi, impak ekonomi dan sebagainya. Semua ukuran ini penting, tetapi ia hanya mengukur apa yang boleh dilakukan oleh manusia, dia bukan melihat siapakah manusia itu.

Pendidikan akhirnya menghasilkan individu yang cekap tetapi belum tentu bijaksana, inovatif tetapi belum tentu beretika, produktif tetapi belum tentu membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

Atas sebab itu, gagasan Sejahtera yang dibawa Tan Sri Dzul menjadi sangat signifikan. Sejahtera bukan sekadar keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Dalam kerangka beliau, sejahtera ialah keadaan harmoni antara manusia dengan Pencipta, dengan dirinya sendiri, dengan masyarakat, dengan alam sekitar dan dengan ilmu.

Maka universiti bukan lagi sekadar institusi menghasilkan modal insan, tetapi institusi yang memupuk hikmah (wisdom), adab dan amal.

Dalam konteks ini, kejayaan universiti tidak boleh diukur hanya melalui bilangan paten, penerbitan atau kedudukan ranking, tetapi juga melalui sejauh mana graduannya menjadi insan yang berintegriti, berBELAS ihsan, bertanggungjawab dan mampu memimpin masyarakat.

Di sinilah seni memperoleh justifikasi yang lebih mendalam. Seni bukan sekadar pelengkap kepada STEM atau aktiviti sampingan kokurikulum untuk "melembutkan" pelajar untuk seketika. Seni ialah wahana mendidik qalbu. Melalui seni, manusia belajar tentang empati, imaginasi, keindahan, kesabaran, makna, kerendahan hati dan kemampuan melihat dunia daripada perspektif orang lain dari dalam jiwa.

Dalam bahasa falsafah, seni melatih keupayaan untuk membuat pertimbangan yang tidak boleh diselesaikan oleh algoritma atau formula matematik semata-mata. Justeru, apabila universiti meminggirkan seni, falsafah, bahasa dan kemanusiaan, sebenarnya universiti sedang mengecilkan ruang pendidikan qalbu. Oleh itu kesannya nanti akan menimbulkan segala macam jenis penyakit sosial dan keruntuhan sifat insan dan dalaman qalbu.

Menariknya, perkembangan idea ini juga seiring dengan perbincangan global.

Tokoh seperti Martha C. Nussbaum, yang telah saya usulkan sebelum ini, berhujah bahawa demokrasi memerlukan pendidikan kemanusiaan, bukan sekadar latihan ekonomi. Manakala pandangan Edgar Morin seorang ahli falsafah, ahli sosiologi dan pemikir Perancis yang dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam pemikiran kompleks (complexity theory) pada abad ke-20 dan ke-21.

Beliau terkenal kerana mengkritik cara ilmu moden yang terlalu memisahkan disiplin ilmu kepada bidang-bidang yang terasing.

Bagi Morin, masalah besar pendidikan moden ialah ia mengajar manusia mengetahui bahagian-bahagian, tetapi gagal memahami keseluruhan.

Contohnya, universiti mempunyai pelbagai fakulti, seperti sains, kejuruteraan, ekonomi, seni, perubatan dan sebagainya. Setiap bidang menjadi semakin pakar, tetapi manusia semakin sukar memahami bagaimana semua bidang itu saling berkait dalam kehidupan sebenar. Beliau telah menyeru bahwa universiti perlu lihat dari sudut reformasi pemikiran, di mana melihat manusia secara kompleks dan saling berkait.

Namun Tan Sri Dzul membawa wacana itu lebih jauh dengan menawarkan satu asas yang berakar dalam tradisi intelektual Islam dan budaya tempatan. Beliau tidak sekadar mengimport teori Barat, tetapi membina suatu falsafah pendidikan yang lahir daripada pengalaman Nusantara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan konsep sejahtera.

Pada hemat saya, inilah yang menjadikan gagasan beliau agak relevan pada era teknologi mesin hari ini. AI boleh menggantikan sebahagian fungsi akal yang bersifat analitik dan rutin. Namun AI tidak mempunyai qalbu. Ia tidak memiliki niat, amanah, ihsan, rasa tanggungjawab atau kebijaksanaan moral. Jika universiti terus bersaing dengan mesin dari segi kecekapan semata-mata, manusia akhirnya akan kalah. Lumpuh dan pasif.

Sebaliknya, jika universiti memupuk apa yang tidak dapat digantikan oleh mesin—iaitu qalbu, hikmah, etika, kreativiti dan kemanusiaan—barulah universiti mempunyai tujuan yang jelas dalam abad ke-21.

Mungkin di sinilah kita boleh merumuskan evolusi pemikiran Tan Sri Dzul. Insan Seimbang - menjawab persoalan siapakah manusia yang ingin dibentuk oleh universiti. Sejahtera - menjawab apakah tujuan akhir pendidikan. Manakala Pendidikan Berasaskan Qalbu - menjawab dari manakah kebijaksanaan dan kepimpinan itu harus lahir.

Ketiga-tiganya membentuk satu falsafah pendidikan yang saling melengkapi—daripada pembangunan manusia, kepada kesejahteraan masyarakat, dan akhirnya kepada pembinaan hikmah dan adab sebagai asas ketamadunan manusia dan kehidupan.

Di sini kita perlu lebih sensitif dan lekas sedar di mana alam dunia yang semakin dipacu oleh data, algoritma dan persaingan global, hahwa kemungkinan persoalan yang paling penting bukan lagi.. Bagaimana universiti boleh melahirkan graduan yang lebih kompetitif?... tetapi Bagaimana universiti boleh melahirkan manusia yang lebih bijaksana dan ihsan? Itulah, pada pandangan saya, inti sebenar pendidikan berasaskan qalbu yang disuarakan oleh Tan Sri Dzulkifli. Ia bukan nostalgia terhadap pendidikan tradisional, tetapi suatu tawaran falsafah untuk masa depan universiti selepas era modal insan—era yang mengembalikan manusia sebagai pusat ilmu dan asas pembinaan kemanusiaan dan tamadun terutama dalam jiwa insan.

Nota Editor:
Artikel ini pertama kali diterbitkan di Facebook Naser Baharuddin dan diterbitkan semula di ARTO Movement dengan kebenaran penulis. Tulisan ini merupakan komentar terhadap artikel Hasnul J. Saidon, Seni, Budaya & Warisan dalam Pemupukan Insan Seimbang di Universiti. Baca artikel asal Hasnul J. Saidon di sini. Baca hantaran asal Naser Baharuddin di Facebook di sini.

Comments