"Im a human being, not a human capital!"
Rungutan ini pernah saya luahkan dalam satu kursus kenaikan pangkat untuk jadi profesor. Saya kongsi ketika diskusi yang dipimpin seorang pensyarah dalam bidang pengurusan sumber manusia. Dia kelihatan bingung bila berdepan dengan seorang pensyarah yang bidang kepakarannya melukis. Nak sukat macam mana nilai pensyarah ni sebagai sumber yang berguna utk universiti?
Saya teringat Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Throwback kejap. Januari 2015. Tan Sri Dzul beri saya buku terbaru dia ketika itu, "Memupuk Insan Seimbang: Cabaran Kepemimpinan" (2014), Penerbit: USIM Press.
Memupuk Insan Seimbang: Cabaran Kepemimpinan, 2014, Penerbit: USIM Press (Kredit foto: Hasnul J Saidon).
Saya ucap terima kasih sambil janji saya akan baca sebagai panduan untuk pimpin diri sendiri yang diakui, susah dipimpin. Ya, saya ngaku, sedikit anti-establishment. Saya tak berapa suka ikut perintah mengkhinzir buta.
Tan Sri Dzul pernah jadi bos saya (Naib-Canselor) semasa saya bersama dengan Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM). Saya pernah pegang jawatan Pengerusi Bahagian Rekabentuk (bukan Seni Halus ya) dan kemudiannya Timbalan Dekan (Dewan Budaya - Pembangunan Seni & Budaya) dibawah kepimpinan dia pada 2004. Tak sampai setahun lepas tu, dia dan Dr. Najib Ahmad Dawa yg brutal (Dekan PPS) ketika itu, campak saya ke Muzium & Galeri USM untuk menjadi pengarahnya. Saya tak setuju. Saya pergi jumpa Dr.Najib di pejabat dia.
"Kenapa campak saya ke muzium bos? Situ byk hantu! Apa saya nak buat kat situ? Mati kutu saya!!"
Dr. Najib jawab, "Kami nak kau tukar muzium tu. Tapi kalau tak puas hati, gi ngadap VC sendiri. Tanya dia."
Lepas set temujanji, saya naik ke bangunan Canselori. Ngadap Tan Sri Dzul. Ketika itu bergelar Dato'.
"Dato', saya ni nak urus diri sendiri pun tak pandai, inikan muzium. Saya tak reti mengarah orang. Lagipun, saya tak suka muzium, itu tempat utk benda-benda yang dah mati. Bidang saya seni kontemporari yang masih hidup, bukan pemuziuman. Saya nak berkarya. Apa saya nak buat kat muzium tu?"
Tan Sri Dzul senyum. Dia jawab lebih kurang begini,
"Kalau you tak suka muzium, you ubahlah muzium tu jadi tempat yang you suka. Barulah orang yang tak suka pergi muzium macam you, akan suka pergi muzium. Sebab you ubah hingga jadi tempat yang you suka. Saya tak kacau you, saya support dari belakang. Saya pilih untuk hantar you ke situ sebab you tak suka muzium. Kalau saya pilih orang yang suka muzium tu, tak berubahlah."
Gitulah lebih kurang dramanya. Saya diam tak bangkang. Terus lapor diri jadi Pengarah Muzium & Galeri USM. Waktu itu saya bayangkan diri sebagai pengarah filem atau teater hidup. Sesekali mengerah.
Sepanjang jadi Pengarah dari 2005 hingga 2012 saya banyak rujuk Tan Sri Dzul. Saya anggap dia guru bidang kempimpinan dan pendidikan tinggi. Walaupun dia dah berhijrah ke institusi lain ketika saya masih jadi Pengarah, saya ikuti tulisan dia dlm akhbar. Juga syarahan dia, jika disiar dalam media sosial dan media massa.
Dia pernah bisik pada saya, "Hasnul, walaupun ini universiti sains, seni dan budaya itu penting. Muzium ini penting sebab inilah satu-satunya tempat yg kita boleh gabung dan angkat kedua-dua sains dan seni seimbang." Saya ingat.
Secara tak formal, saya menekuni dan menyerap falsafah pendidikan Dzulkifli Abdul Razak serta tafsirannya terhadap kecemerlangan sesebuah universiti menerusi amanat tahunan, mesyuarat, taklimat dan perbualan santai.
Dalam buku yg diberi pada saya tahun 2015 itu, Tan Sri Dzul seperti bertanya:
"Apakah rupa manusia yang patut dilahirkan oleh universiti?"
Gaya bahasa Tan Sri Dzul dalam buku ini mudah diikut, tak berbelit. Tak seperti penulisan ilmiah yang penuh dengan jargon-jargon yang sukar difaham. Penulisan dia tak polemikal. Dia praktikal. Mungkin kerana dia tak terlatih dlm bidang sains sosial. Dia dari bidang farmasi.
Dalam buku itu, dia mengusul satu kerangka alternatif berasaskan konsep insan yang seimbang.
Pada Tan Sri Dzul, pendidikan moden terlalu menumpukan kepada modal insan (human capital). Dalam kerangka ini, manusia dinilai berdasarkan produktiviti, kebolehpasaran, kecekapan dan nilai ekonomi. Manusia jadi robot. Berbeza dgn kerangka manusia sebagai modal dan robot pekerja, dia mencadangkan konsep insan seimbang. Maksudnya manusia yang berkembang secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, akhlak dan tanggungjawab sosial. Lagipun, ini semua seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah inilah yang cuba diserap oleh Tan Sri dalam konteks universiti abad ke-21.
Walaupun buku ini bukan polemik, kritiknya agak jelas. Tan Sri Dzul berpendapat bahawa apabila pendidikan hanya mengejar pertumbuhan ekonomi, ia lebih obses untuk menghasilkan pekerja, bukan insan.
Ini yang saya pegang sampai sekarang. Sebagai seorang pensyarah ketika itu, saya amat terkesan dengan pendapat ini.
Buku Tan Sri Dzul seolah ajak saya bertanya, adakah saya ini sebahagian dari litar lumba dan kilang menghasil pelumba nombor dan pekerja? Atau taman yg menyubur dan membina insan dan ketamadunan ilmu? Apa jadi dengan konsep 'universiti dalam taman'? Adakah penyelidikan dah jadi alat pasaran? Adakah sains dan universiti yg mendukunginya dah pupus dimensi kemanusiaan? Adakah kepimpinan hanya diukur melalui prestasi organisasi semata-mata?
Buku ini juga beri justifikasi yang kuat mengapa seni tak boleh dipinggirkan.
Mengapa? Kerana insan seimbang tak mungkin dibentuk hanya melalui STEM atau latihan teknikal.
Pada Tan Sri Dzul, seni, budaya, bahasa, falsafah dan agama adalah sebahagian daripada pembentukan insan yang utuh.
Jika buku-buku dari tokoh-tokoh lain mengkritik keras dan diagnos penyakit universiti, Tan Sri Dzulkifli mencadangkan rawatan. Dia lebih berminat membina semula universiti berasaskan nilai seperti sejahtera, kepimpinan beretika dan pembangunan insan. Yang lebih terkini, beliau mengusulkan pendidikan berasaskan qalbu (qalb-based education). Tapi itu kena susul dengan beberapa syarahannya.
Pada saya, buku Tan Sri Dzul ialah karya yang positif. Beliau tak hanya mengkritik universiti moden, tetapi cuba menawarkan satu falsafah pendidikan tinggi yang berakar pada tradisi tempatan, nilai kemanusiaan dan konsep Sejahtera (dan yg lebih terkini, berasaskan kalbu). Itulah sebabnya buku ini masih relevan, walaupun diterbitkan lebih sedekad lalu.
Alhamdulillah. Saya syukur dapat baca dan kongsi sikit kandungannya di sini.
(Buku ini diterbitkan juga dalam versi bahasa Inggeris yang lebih panjang. "Nurturing a Balanced Person: The Leadership Challenge" 2017, diterbitkan bersama oleh USIM Press dan ITBM.)
Comments
Post a Comment