Penulisan ini merupakan refleksi terhadap karya - karya Wings Before Words: Temporal Unmaking yang kini dipamerkan di perkarangan Galeri Shah Alam. Pameran ini merupakan kesinambungan daripada Wings Before Words yang pernah dipamerkan di Balai Seni Negara dari 21 September hingga 23 Disember 2025. Kefahaman terhadap pameran karya di Balai Seni Negara ini boleh diperkembangkan melalui esei apresiasi yang ditulis oleh Encik Badrolhisham Mohd Tahir bertajuk Wings Before Words: Zikir Material Syakir Hashim. Ia diterbitkan pada 14 Oktober 2025, boleh dibaca di portal Senimalaya.
Walaubagaimanapun, pameran kali ini bukan sekadar mengulang pameran yang terdahulu. Daripada tujuh buah karya yang pernah dipamerkan, empat buah arca berskala besar dipilih untuk dibawa ke ruang luar Galeri Shah Alam, dengan tempoh pameran dari 16 Mei 2026 hingga April 2027.
Perpindahan karya daripada ruang galeri kepada ruang terbuka mengubah keadaan kewujudannya. Jika sebelum ini karya hadir sebagai objek yang relatif stabil dan terkawal, kali ini ia sengaja diletakkan dalam keadaan yang membolehkannya berubah. Panas, hujan, angin, sentuhan pengunjung dan perjalanan masa menjadi sebahagian daripada keadaan yang membentuk karya. Dalam konteks ini, Temporal Unmaking bukan sekadar pameran semula, tetapi satu kesinambungan daripada proses penciptaan yang terdahulu. Jika Wings Before Words pada asalnya merupakan proses making, maka Temporal Unmaking menjadi proses unmaking, iaitu membiarkan sesuatu yang telah dibentuk mengalami perubahan dan perlahan- lahan kehilangan bentuk asalnya melalui masa.
“Merentas Masa”, kepingan EVA and besi, 122 cm x 274 cm x 183 cm
(Foto kredit: Syakir Hashim)
"Keterbatasan", kepingan EVA dan besi, 152 cm x 274 cm x 122 cm
(Foto kredit: Syakir Hashim)
Wings Before Words: Asal Usul Pencarian
Saya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang falsafah mahupun agama. Saya mula berjinak dengan bacaan falsafah ketika berada di tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Seni Halus, apabila persoalan tentang seni membawa saya kepada perbincangan tentang kewujudan, pengetahuan dan pengalaman manusia. Pembacaan tersebut kemudiannya berkembang kepada sejarah, politik, sosiobudaya dan pemikiran.
Pembacaan ini tidak pernah dilakukan sebagai satu kajian yang tersusun. Ia lebih bermula daripada rasa ingin tahu dan keinginan untuk memahami persoalan yang muncul dalam diri sendiri. Secara perlahan, persoalan tentang kewujudan manusia mula bertemu dengan pengalaman saya sebagai seorang Muslim. Saya mula mempersoalkan bukan sekadar apa yang saya percaya, tetapi bagaimana dan mengapa saya mempercayainya.
Kegelisahan tersebut membawa saya kepada persoalan tentang hubungan antara akal dan iman. Pembacaan terhadap falsafah Barat dan pemikiran Islam, termasuk perbincangan tentang kewujudan, akal, wahyu dan kepercayaan, membuka ruang kepada suatu pertentangan yang semakin saya sedari dalam diri sendiri. Keraguan tidak lagi saya lihat semata-mata sebagai penolakan terhadap iman, tetapi sebagai kemungkinan untuk mendekati keyakinan.
Dari situlah Wings Before Words bermula. Karya ini lahir daripada usaha untuk memahami ketegangan antara keraguan dan keyakinan, antara logik dan iman. Saya tidak melihatnya sebagai jawapan kepada persoalan tersebut, apatah lagi sebagai suatu pernyataan tentang kebenaran yang muktamad. Sebaliknya, saya memilih untuk mengalami pertentangan tersebut melalui tindakan menghasilkan karya. Dalam ketidakpastian, iman menjadi tempat untuk berpijak, sementara akal memberikan struktur dan arah tanpa semestinya mampu menjelaskan segala galanya.
"Panggilan", kepingan EVA dan besi, 183 cm x 183 cm x 213 cm
(Foto kredit: Syakir Hashim)
"Tunduk", kepingan EVA dan besi, 152 cm x 183 cm x 152 cm
(Foto kredit: Syakir Hashim)
Making: Membina Keyakinan
Bentukan organik dalam karya ini dibalut dengan kepingan Ethylene Vinyl Acetate (EVA) yang disusun secara berulang. Proses tersebut perlahan, repetitif dan hampir ritualistik. Setiap kepingan EVA yang dipotong dan dilekatkan merupakan tindakan kecil yang pada awalnya mungkin kelihatan tidak bermakna. Namun, melalui pengulangan, tindakan kecil tersebut terkumpul dan akhirnya membentuk sesuatu yang lebih besar.
Di sini, proses menjadi sebahagian daripada makna karya. Keyakinan, seperti mana bentuk yang terhasil, tidak hadir secara serta merta. Pengulangan dalam proses ini membuatkan saya memikirkan tentang sifat latihan dalam kehidupan spiritual. Sesuatu yang dilakukan berulang kali tidak semestinya menghasilkan perubahan yang dapat dilihat dengan segera. Namun, pengulangan itu sendiri perlahan- lahan mengubah cara seseorang berada dalam sesuatu keadaan.
Dalam menghasilkan karya ini, saya tidak sentiasa yakin terhadap apa yang sedang saya lakukan. Ada ketika proses terasa melelahkan, tidak pasti dan hampir tidak bermakna. Namun, tindakan untuk terus mengulanginya menjadi satu bentuk disiplin. Pada ketika itu saya mula memahami bahawa keyakinan mungkin bukan keadaan yang bebas daripada keraguan, tetapi kemampuan untuk terus melangkah walaupun keraguan masih wujud.
Ia terbentuk sedikit demi sedikit melalui kesabaran, keletihan, disiplin dan pengulangan. Apa yang kelihatan sederhana pada permukaan sebenarnya menyimpan pengalaman tentang masa dan ketekunan.
Struktur besi pula berfungsi sebagai sokongan kepada bentuk organik tersebut. Ia menyediakan struktur yang membolehkan bentuk itu hadir tanpa menentukan sepenuhnya arah dan sifatnya. Dalam konteks karya ini, besi menjadi metafora kepada akal. Ia memberikan struktur dan arah, tetapi tidak semestinya menguasai keseluruhan pengalaman manusia. Ada perkara yang boleh dihampiri melalui pemikiran dan pena’akulan, sementara ada perkara yang hanya dapat dialami, dihayati dan dipercayai.
Maka, karya ini bukan semata objek yang telah selesai. Ia jejak daripada suatu pencarian yang masih berlangsung. Melalui proses menghasilkan karya, saya mula memahami bahawa keyakinan tidak semestinya bermaksud beroleh kepastian mutlak. Ia mungkin lebih dekat kepada kesediaan untuk terus berjalan walaupun jawapan belum ditemukan.
Dari Making kepada Unmaking
Apabila empat buah arca ini dibawa ke ruang luar Galeri Shah Alam, keadaan karya turut berubah. EVA yang selama ini saya bentuk dengan penuh ketelitian kini terdedah kepada panas, hujan, angin, serangga dan perubahan persekitaran. Sentuhan pengunjung juga tidak dihalang kerana saya mahu material tersebut berhubung secara langsung dengan tubuh manusia. Setiap sentuhan berpotensi meninggalkan kesan dan menjadi sebahagian daripada perubahan pada permukaan karya.
Saya memilih untuk tidak menghalang proses tersebut. Sebaliknya, saya mahu melihatnya berlaku. Sedikit demi sedikit, permukaan mungkin merekah, mengelupas, melonggar dan terurai. Bentuk yang dahulu dibina dengan kawalan mula kehilangan sebahagian daripada kawalan tersebut.
Pada tahap ini, saya tidak lagi menjadi satu- satunya pihak yang menentukan keadaan karya. Perubahan ini turut mengubah hubungan saya dengan karya. Ketika proses awal, saya mempunyai kawalan terhadap setiap potongan, susunan dan bentuk yang dihasilkan. Namun, apabila karya diletakkan di ruang terbuka, kawalan tersebut secara beransur- ansur berkurangan. Saya tidak dapat menentukan bila permukaan akan berubah, bahagian mana yang akan terurai terlebih dahulu atau sejauh mana bentuk asalnya akan bertahan.
Ketidakpastian yang dulunya hadir sebagai persoalan dalam diri kini hadir secara fizikal melalui material. Dalam keadaan ini, saya bukan lagi hanya menghasilkan karya, tetapi belajar untuk melepaskan sebahagian daripada kuasa saya terhadapnya. Masa, cuaca, material, serangga dan pengunjung turut mengambil bahagian dalam penghasilannya.
Jika making merupakan tindakan membina, unmaking pula adalah tindakan melepaskan. Karya yang telah selesai tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang perlu dikekalkan dalam keadaan asalnya. Sebaliknya, ia dibiarkan memasuki keadaan baharu yang tidak dapat diramal sepenuhnya.
Temporal Unmaking: Belajar Melepaskan
Kesementaraan dalam karya ini membawa saya kepada persoalan tentang bahan yang mudah rosak dan seterusnya kepada kesedaran yang lebih luas tentang sifat segala sesuatu yang terbentuk. Dalam pemikiran Al- Ghazali, kesedaran terhadap kefanaan dunia mengingatkan manusia bahawa apa yang bersifat material tidak kekal mutlak. Kesedaran terhadap kefanaan juga membawa manusia kepada kehilangan, kerendahan diri dan kesediaan untuk melepaskan keterikatan terhadap sesuatu yang dianggap tetap.
Dalam konteks karya ini, saya melihat peleraian material sebagai satu bentuk pengalaman terhadap kesementaraan tersebut. Setiap kepingan EVA yang saya susun dengan sabar akhirnya akan berubah dan kehilangan bentuk asalnya. Apa yang dibina tidak dapat saya miliki sepenuhnya. Saya hanya mampu menghasilkan bentuk, kemudian membiarkannya menjalani prosesnya sendiri.
Dalam pengertian ini, Temporal Unmaking menjadi lanjutan kepada persoalan asal Wings Before Words. Jika keyakinan dibina melalui pengulangan, maka ia juga sentiasa berhadapan dengan kemungkinan untuk goyah, berubah dan dibentuk semula. Keyakinan bukan sesuatu yang selesai sekali dan untuk selama- lamanya. Ia merupakan perjalanan yang sentiasa diperbaharui dalam keadaan ragu, sementara dan tidak pasti.
Masa juga menjadikan karya ini sentiasa berubah. Pengunjung yang melihatnya pada awal pameran tidak akan mengalami karya yang sama dengan mereka yang datang beberapa bulan kemudian. Bentuk, permukaan dan keadaannya akan terus berubah. Dengan demikian, karya tidak lagi hanya berada dalam ruang, tetapi turut mengalami ruang dan masa bersamanya.
Saya mula melihat bahawa karya tidak semestinya selesai apabila seniman berhenti menghasilkannya. Dalam Temporal Unmaking, karya terus berada dalam proses menjadi sesuatu yang lain selepas ia meninggalkan tangan saya. Masa menjadi sebahagian daripada proses penciptaan, peleraian menjadi sebahagian daripada kehidupan karya.
Dalam keadaan ini, pengalaman setiap pengunjung juga menjadi berbeza. Mereka yang hadir pada awal pameran akan bertemu dengan bentuk yang masih hampir kepada keadaan asalnya, sementara mereka yang hadir kemudian mungkin menemui permukaan yang telah berubah, terkopek atau kehilangan sebahagian daripada bentuknya. Tidak ada satu keadaan karya yang boleh dianggap sebagai keadaan yang paling benar. Setiap keadaan hanya merupakan satu titik dalam perjalanan karya. Pengunjung menjadi saksi kepada perjalanan tersebut dan mungkin, tanpa disedari, turut menyaksikan sesuatu yang lebih dekat dengan pengalaman manusia sendiri. Apa yang kita kenali hari ini tidak semestinya hadir dalam keadaan yang sama pada masa depan.
Saya tidak lagi melihat kesementaraan sebagai sesuatu yang perlu ditakuti, tetapi sebagai satu keadaan yang mengingatkan saya bahawa segala sesuatu sentiasa berubah. Apa yang kekal mungkin bukan bentuk yang kita bina, tetapi kesedaran yang lahir daripada pengalaman membina, kehilangan dan menerima perubahan.




Comments
Post a Comment