Kalau Seni Tak Penting, Mengapa Kita Memerlukannya? oleh Hafiz Aiman

Payong Payong, Syed Ahmad Jamal (1959). (Kredit foto: Ilham Gallery Collection) 

Soalan yang paling kerap kita dengar: adakah seni ini penting, atau sekadar kecantikan semata-mata?

Cuba bayangkan bangun pagi dalam dunia tanpa imej, bunyi, tekstur, atau bentuk. Sanggupkah kita hidup dalam keadaan sedemikian?  

Jika seni benar-benar tidak penting, mengapa manusia dari zaman dulu hingga sekarang tidak pernah berhenti mencipta, menyimpan, dan mewariskannya?” 

Kalau kita imbas balik sejarah, seni tak pernah terhad pada keindahan semata mata. Ia digunakan untuk sampaikan kepercayaan, rakam sejarah, bina identiti, bahkan pernah juga menjadi alat propaganda dan untuk mengukuhkan kuasa politik. Lukisan, poster, arca, dan mural bukan sekadar dicipta untuk ditonton ia dicipta untuk bentuk apa yang kita fikir, rasa, dan percaya. 

Sebab itu seni ada kuasa yang jauh lebih besar daripada sekadar menghasilkan benda cantik. Ia jadi cermin masyarakat, suara untuk sesuatu isu, diari peristiwa, dan kadang kadang alat untuk ubah cara kita pandang dunia. 

Poster propaganda Jepun era 1940-an semasa kependudukan Jepun di Tanah Melayu. (Kredit foto: Kisah & Sejarah) 

Apa Sebenarnya Nilai Estetika Seni? 

Nilai estetika tak semestinya terletak pada benda yang sedap dipandang mata. Ia juga wujud daripada cara warna, bentuk, susunan (komposisi), dan bahan membina satu pengalaman buat penonton. Sebuah karya mungkin kasar, pelik, atau buat kita rasa tak selesa. Tapi ia tetap ada nilai estetika sebab ia berjaya buat kita berhenti sekejap dan “rasa” sesuatu.  

Dalam seni hari ini, soalannya bukan lagi “cantik ke tak karya ni?”, tetapi “kenapa karya ni buat aku nampak sesuatu dengan cara yang berbeza?” 

Dalam Rupa dan Jiwa, Syed Ahmad Jamal melihat hubungan antara rupa dengan sesuatu yang lebih mendalam di sebalik bentuk yang kita lihat. Rupa bukan sekadar perkara yang hadir di permukaan, tetapi boleh menjadi jalan untuk memahami pemikiran, pengalaman dan jiwa yang terkandung dalam sesebuah karya.  

Dalam konteks ini, estetika bukan hanya tentang apa yang mata lihat, tetapi juga tentang apa yang cuba disampaikan melalui rupa tersebut. Rupa mungkin menjadi perkara pertama yang menarik perhatian kita, tetapi jiwa menjadikan kita terus menghayatinya. 

Buku Rupa & Jiwa yang ditulis oleh Syed Ahmad Jamal. (Photo credit : Goodreads) 

Keindahan itu subjektif. Apa yang cantik pada mata kita, mungkin biasa-biasa sahaja atau merimaskan pada pandangan orang lain. Jadi, estetika seni bukan tentang apa yang mata suka semata-mata, tetapi tentang pengalaman yang lahir apabila kita berdepan dengan sesebuah karya.  

Pada akhirnya, nilai estetika mungkin bukan terletak pada sejauh mana karya itu kelihatan indah, tetapi sejauh mana ia mampu membuat kita melihat, berfikir dan merasakan sesuatu yang sebelumnya tidak kita sedari. 

Seni Sebagai Rekod Zaman 

Sebelum adanya kamera, surat khabar, dan media sosial, kita sudah tinggalkan jejak melalui seni. Lukisan gua, ukiran batu, arca, dan manuskrip lama adalah bukti bagaimana orang dulu faham dunia dan jalani kehidupan mereka. 

Perkara yang sama masih berlaku hari ni. Perubahan sosial, politik, budaya, dan asam garam kehidupan seharian tetap jalan terus ke dalam karya seni. 

Ibrahim Hussein, May 13th (1969). (Kredit foto: keatsthesunshinegirl.blogspot.com.) 

Dalam konteks Malaysia, contoh paling jelas ialah karya "May 13 (1969)" oleh Ibrahim Hussein, yang dihasilkan sebagai respons terhadap tragedi berdarah itu. Penggunaan imej bendera Malaysia dengan dominasi warna hitam dengan jelas menggambarkan suasana gelap dan ketegangan pada waktu tersebut.

Lebih dari sekadar lukisan, karya itu jadi saksi bisu kepada peristiwa yang tinggalkan luka dan kesan besar pada negara. Ia bukan sekadar rakam kejadian, tapi bawa sekali emosi dan keresahan zaman itu. 

Kalau sejarah catat tarikh dan fakta, seni pula tinggalkan rasa bagaimana manusia merasai dan memberi makna kepada sesuatu peristiwa. 

Seni Malaysia: Cermin Masyarakat  

Kalau seni mampu merekod zaman, dia juga jadi cermin kepada masyarakat yang melahirkannya. 

Seni visual Malaysia tak pernah terpisah daripada persoalan siapa kita, dari mana asal usul kita, dan macam mana hidup kita berubah. Kepelbagaian budaya, kepercayaan, dan pengalaman hidup diadun menjadi bahasa visual oleh para seniman kita. 

Contohnya boleh dilihat menerusi karya Latiff Mohidin, siri Pago Pago. Diilhamkan daripada pengembaraannya merentasi Asia Tenggara, karya ini menggabungkan bentuk abstrak dengan unsur alam dan landskap rantau kita. 

Pago Pago, Latiff Mohidin (1966).  (Kredit foto: Ilham Gallery) 

Di sini, seni bukan sekadar lukis tempat, tapi jadi sebahagian daripada pencarian identiti. Ia tunjukkan macam mana seorang seniman cuba bina bahasa seni yang dekat dengan jiwa dan persekitarannya sendiri.

Bila kita tengok karya dari sesuatu dekad, sebenarnya kita sedang tengok cara masyarakat pada masa itu memahami diri mereka sendiri. 

Adakah Penggiat Seni Boleh Melakukan Apa Sahaja? 

Walaupun bebas berkarya, penggiat seni tetap mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Di Malaysia, Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 yang diperkenalkan Tun Abdul Razak menekankan identiti rantau ini dengan menjadikan Islam sebagai teras, berserta unsur budaya lain yang wajar. Prinsip ini menuntut seniman agar tidak hanya mengejar ekspresi peribadi, tetapi turut memupuk perpaduan dan nilai kerohanian negara. Persoalannya bukanlah tentang menyekat kebebasan, sebaliknya sejauh mana kebebasan itu digunakan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. 

Seni dalam Era Moden 

Dalam dunia yang penuh dengan imej dan kandungan digital, kita sebenarnya melihat jauh lebih banyak visual berbanding generasi terdahulu, tetapi jarang benar benar memahami. Dari aspek seni halus, ia memberi kita ruang untuk melihat dengan lebih perlahan mengajak kita memerhati, mentafsir, dan mencari makna melalui pengalaman sendiri. 

Sebab itu kita masih memerlukan seni. Bukan kerana kita kekurangan benda untuk dilihat, tetapi kerana seni memberi kita kebebasan untuk menentukan apa yang mahu kita rasa dan fahami, sekaligus menjadi cermin kepada diri kita sendiri. 

Malah, tanggapan bahawa seni hanya sekadar hobi yang sempit perlu diubah. Hari ini, dunia kerjaya seni visual jauh lebih luas dan rencam merangkumi pengurusan galeri, kuratorial muzium, reka bentuk, seni digital, dan industri ekonomi kreatif yang bernilai tinggi. 

Tapi, Seni Tak Mampu Selesaikan Segala-galanya 

Sebuah lukisan tidak mampu menghentikan peperangan, sebuah arca tidak dapat melangsaikan hutang, dan sebuah pameran seni tidak serta-merta mampu mengubah dasar kerajaan. Karya tentang kemiskinan mungkin tidak meletakkan wang ke tangan mereka yang memerlukan, tetapi ia boleh membuat kita bertanya: mengapa kemiskinan ini wujud? Begitu juga, karya tentang alam mungkin tidak menghentikan pencemaran sungai, tetapi ia boleh mengubah cara kita melihat hubungan antara manusia dengan alam sekitar.” 

Namun, di sinilah kita sering tersilap memahami fungsi seni. Seni sebenarnya tidak dicipta semata-mata untuk menyelesaikan masalah secara fizikal, tetapi untuk mengubah cara kita melihat dan memahami sesuatu masalah. Karya tentang kemiskinan mungkin tidak mampu meletakkan wang ke tangan mereka yang memerlukan, tetapi ia boleh membuat kita bertanya: Mengapa kemiskinan ini wujud? Karya tentang alam pula mungkin tidak mampu menghentikan pencemaran sungai, tetapi ia boleh mengubah cara kita melihat hubungan antara manusia dengan alam sekitar. 

Perubahan yang dibawa oleh seni mungkin berlaku secara perlahan dan sukar diukur dengan angka. Namun, perubahan dalam cara kita berfikir, melihat dan merasakan sesuatu itu sendiri merupakan satu bentuk perubahan yang besar. Seni mungkin tidak mampu menyelesaikan dunia, tetapi ia mampu mengubah manusia yang hidup di dalamnya. 

Jadi, apakah seni itu penting? 

Mungkin persoalan sebenar bukanlah sama ada seni itu penting atau tidak, tetapi mengapa kita begitu terdesak untuk membuktikan bahawa seni mesti mempunyai kegunaan. Kita hidup dalam masyarakat yang sering mengukur sesuatu berdasarkan hasil, keuntungan dan keberkesanan. Apa yang tidak menghasilkan sesuatu yang boleh dikira mudah dianggap tidak penting. Dalam kerangka seperti ini, seni sememangnya kelihatan seperti sesuatu yang tidak perlu. 

Namun, jika segala sesuatu hanya dinilai berdasarkan kegunaannya, di manakah tempat untuk perkara yang membentuk cara kita berfikir, merasa dan mempersoalkan dunia? Seni mungkin tidak menyelesaikan masalah secara langsung, tetapi ia mampu mengganggu perkara yang selama ini kita terima tanpa persoalan. Ia boleh membuka ruang untuk melihat realiti dari sudut yang berbeza, mencabar nilai yang dianggap normal dan memaksa kita berhadapan dengan sesuatu yang mungkin tidak selesa. 

Jadi, mungkin seni tidak perlu membuktikan bahawa ia berguna untuk menjadi penting. Nilai seni terletak pada keupayaannya membuat kita berhenti, berfikir dan bertanya semula tentang dunia yang kita anggap sudah kita fahami. Dan mungkin itulah sebabnya, dalam dunia yang semakin pantas mencari jawapan, kita masih memerlukan sesuatu yang berani untuk bertanya soalan. 

Comments