Rata-rata, soalan tentang galeri seni sering muncul di media sosial seperti Facebook, X (dulu dikenali sebagai Twitter) dan Thread hampir sama.
“Boleh ke pakai selipar ke galeri?”
“Galeri ni untuk orang elit je ke?”
“Boleh bawa budak atau tak?”
“Boleh selfie tak?”
“Boleh ke berdating di galeri?”
Bunyinya mungkin sedikit lucu, tetapi kalau difikirkan betul-betul, soalan-soalan ini datang dari satu tempat yang sama iaitu rasa ragu.
Rasa tidak pasti sama ada kita “layak” berada dalam ruang itu.
Jadi persoalannya, adakah galeri seni ini sememangnya terlalu jauh daripada orang awam? Atau kita sendiri yang meletakkan jarak itu?
Kalau dilihat hari ini, keadaan sudah banyak berubah. Galeri tidak lagi terhad kepada kompleks atau ruang seni persendirian. Kita sudah mula melihat ruang seni muncul di pusat membeli-belah, ruang awam, bahkan dalam acara-acara terbuka. Program seperti Bakat Muda Sezaman yang mengetengahkan pendekatan site specific art juga sedikit sebanyak membuka ruang yang lebih luas kepada para penghayat.
Seni menjadi semakin dekat.
Tetapi rasa ragu itu masih ada.
Maka timbul soalan seperti perlu ke ada “etika” untuk ke galeri?
Kalau dilihat secara literal, ya, ada beberapa peraturan asas.
“Tidak dibenarkan menyentuh karya.”
“Tidak dibenarkan makan atau minum di dalam ruang galeri.”
“Tidak dibenarkan menggunakan flash ketika mengambil gambar.”
Peraturan-peraturan ini bukan untuk menyusahkan sebaliknya untuk melindungi karya. Banyak karya seni bersifat rapuh, bukan sekadar dari segi fizikal, tetapi juga dari segi pemeliharaan jangka panjang. Satu sentuhan kecil pun kadangkala boleh memberi kesan besar.
Tetapi selain daripada peraturan yang jelas ini, selebihnya lebih kepada… kesedaran.
Contohnya suasana.
Kebanyakan galeri mempunyai suasana yang tenang dan sunyi. Bukan kerana ia mahu menjadi eksklusif, tetapi kerana sesetengah karya memerlukan ruang untuk “didengar” sama ada secara visual atau literal, seperti karya yang menggunakan audio.
Ini tidak bermaksud anda perlu berdiam diri sepenuhnya seperti di perpustakaan. Anda masih boleh berbual, berbincang, bertanya. Cuma mungkin bukan pada tahap suara seperti di kedai mamak. Ada ruang dan masa untuk setiap jenis perbualan.
Begitu juga dengan jarak.
Melihat karya dari dekat memang penting kerana di situlah kita dapat melihat perincian, teknik, kekemasan hasil tangan artis. Tetapi ada satu garis halus antara menghargai dan mengganggu. Terlalu dekat, kita berisiko merosakkan. Terlalu lama, kita mungkin menghalang orang lain.
Dan sebenarnya, semua ini bukanlah sesuatu yang kompleks.
Ia kembali kepada satu perkara asas iaitu kesedaran terhadap ruang dan orang lain.
Mungkin satu lagi perkara yang jarang disebut ialah persediaan.
Tidak semua galeri beroperasi dengan cara yang sama. Ada yang dibuka setiap hari, ada yang tutup pada hari tertentu. Ada yang mesra OKU, ada yang masih mempunyai kekangan. Satu klik ‘Google Search’ boleh membantu pengalaman anda menjadi lebih lancar.
Tetapi di sebalik semua ini, ada satu perkara yang lebih penting daripada mana-mana “etika”.
Rasa hormat.
Bukan hormat dalam erti kata meletakkan seni di tempat yang terlalu tinggi sehingga menakutkan, tetapi hormat dalam erti kata memahami bahawa setiap karya itu datang daripada proses yang melibatkan masa, tenaga, emosi dan juga kos.
Apabila kita masuk ke galeri, kita bukan sekadar melihat objek.
Kita sedang berhadapan dengan hasil tangan seorang artis.
Dan mungkin di sinilah kita perlu ubah cara kita melihat galeri.
Bukan sebagai ruang yang penuh dengan peraturan.
Tetapi sebagai ruang yang sebenarnya terbuka cuma memerlukan sedikit kesedaran untuk kita berada di dalamnya.
Kerana pada akhirnya, galeri tidak pernah menolak kehadiran orang awam.
Malah, ia bergantung kepada kehadiran itu.
Seni tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang jauh atau eksklusif. Ia bukan milik satu-satu kelompok sahaja.
Seni adalah untuk semua.
Dan mungkin, langkah pertama untuk mendekatkan diri dengan seni bukanlah dengan mempelajari semua peraturannya.
Sebaliknya memberanikan diri untuk melangkah masuk terlebih dahulu.
Comments
Post a Comment